Sunday, June 9, 2013

Wudhu' (Air Sembahyang)

Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk solat (mengerjakan sembahyang) iaitu menyembah yang Maha Esa, Maha Pencipta (Allah). Akan tetapi, sebelum menunaikan solat, kita mestilah berwudhu' yakni menggunakan air yang bersih (mutlak) ataupun sekiranya tiada air, kita dibolehkan bertayammum menggunakan debu pasir yang bersih. Islam mewajibkan manusia dengan menjaga kebersihan,suci dalam segala aspek, sebab itu Islam itu indah,harmoni dan sejahtera :-)

Syarat Wajib berwudhu':
1. Islam.

2. Baligh.

3. Berakal.

4. Mampu menggunakan air yang suci dan mencukupi.

5. Berlakunya hadath.

6. Suci daripada haidh dan nifas.

7. Kesempitan waktu. Wudhu’ tidak diwajibkan ketika waktu yang panjang tetapi diwajibkan ketika kesempitan waktu.



Syarat sah berwudhu':

1) Orang Islam (orang bukan Islam tidak wajib berwudhu')

2) 
Mumayiz, iaitu telah dapat membezakan yang baik dengan yang buruk sesuatu pekerjaan, yakni yang telah berusia 9 tahun

3) Air Mutlak

4) Bersih dari Haidh, Nifas dan Junub atau dalam Hadas Besar.

5) Jangan ada pada anggota kita sesuatu benda yang dengannya, sebabnya tidak sampai air ke kulit/rambut/kuku seperti cat, lilin, getah, tatu di kulit, pewarna rambut dan sebagainya.

6) 
Mengetahui dan dapat membezakan mana yang fardhu dan sunat.


7) Menghilangkan najis ‘ain yang terdapat pada badan dan pakaian orang yang berwudhu’.



Jenis-Jenis Air Mutlak -Air yang tidak bercampur dengan benda lain dan belum digunakan untuk bersuci dan mengangkat hadas (wudhu').

1. Air hujan.
2. Air embun.
3. Air laut.
4. Air sungai.
5. Air perigi/ telaga
6. Air mata air.
7. Air Salji

Air tersebut tidak diambil kira sifatnya sama ada berwarna putih, jernih, keruh, masam, masin dan sebagainya.
Air di atas mudah untuk kita perolehi, di mana sahaja dengan izin Allah.
Sebaik sahaja mendapatkan air mutlak, bermulalah untuk berwudhu' :-

Rukun wudhu' ada 6 perkara yang wajib kita ketahui:

1) Niatdiniatkan di dalam hati untuk mengerjakan wudhu', bacalah diwaktu mula hendak membasuh muka
 
Nawaitu rof 'alhadathil asghari Lillahi Ta'ala

Erti: Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Ta'ala

atau

Nawaitu rof 'alhadathil asghari Lillahi Ta'ala

Erti: Sahaja aku berwudhu' kerana Allah Ta'ala

2) Membasuh Muka
mengalikan air serta meratakannya keseluruh muka, - 3 Kali.


dari dahi sampai ke dagu (jika ada janggut hendaklah diratakan seluruhnya) dan dari anak telinga kanan hingga ke anak telinga kiri



3) Membasuh Kedua tangan hingga ke siku- 3 Kali.



dimulai dari siku hingga sampai kedua hujung jari. Mulakan dari tangan kanan dahulu diikuti pula dengan tangan kiri.
Bagi orang yang tiada siku disunatkan membasuh hujung anggota yang ada.

4) Menyapu Air Ke Kepala- 3 Kali.


  
merata menyapu kepala dengan air sekurang-kurangnya tiga helai rambut,ubun-ubun dan yang lebih baik ialah menyapu seluruh kepala. 

5) Membasuh Kedua Kaki- 3 Kali.

 
mengalir dan ratakan air kepada dua kaki serta celah-celah jari kaki tumit hingga bukulali atau matakaki, mulakan sebelah kanan dahulu.

6) Tertib
mengikut urutan atau turutan yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan.


Walaupun rukun wudhu' ada 6 perkara, kita juga digalakkan melakukan sunat-sunat di dalam berwudhu' seperti:-

Menghadap ke arah Kiblat.
  • Membaca "Auuzubillah himinasyaitonirrajim" dan "Bismillah hirrahman nirrahim".
  • Membasuh kedua telapak tangan hingga kepergelangan tangan sebelum berwudhu'.
  • Berkumur atau bersugi.
  • Memasukkan sedikit air ke dalam hidung untuk membersihkannya dan mengeluarkannya kembali.
  • Mencuci kedua telinga sebanyak 3 kali, kebiasaannya dilakukan selepas rukun wudhu' yang keempat (menyapu air di kepala). Had untuk telinga seperti,
  •  -- jari telunjuk di anak telinga, ibu jari dipusingkan di seluruh belakang daun telinga bermula dari bawah (cuping telinga) ke atas dan diulangi sebanyak 3 kali.-pastikan seluruh telinga dibasahi dengan air wudhu'.
  • Memusing-musingkan cincin jika ada di jari.
  • Menjelai-jelai janggut atau misai dengan air sehingga rata.
  • Menjelai jari-jari tangan dan kaki.
  • Mendahulukan basuhan anggota kanan daripada yang kiri.
  • Mengulangi 3 Kali setiap basuhan.
  • Jangan meminta bantuan orang lain seperti tolong menuangkan air sewaktu berwudhu'.
  • Jangan mengelap atau mengeringkan anggota wudhu' dengan kain atau sebagainya.
  • Berjimat ketika menggunakan air.
  • Jangan berkata-kata atau bersembang ketika mengerjakan wudhu'.
  • Membaca Doa setelah selesai berwudhu'.
  • Elakkan percikkan air jangan sampai jatuh semula ke bekas atau ke baldi (digunakan untuk menadah air wudhu').
  • membaca doa selepas wudhu':

 
Ashyhadu alla ilahaillallah wahdahula shyarikalah. Wa ashyhadu anna Muhammadan 'abduhu warosulluh. Allahummaj'alni minattawabina waj'alni mina lmutatohhirina waj'alni min 'iba dikassollihin.

Kita juga perlu tahu berkenaan dengan beberapa perkara yang boleh membatalkan wudhu':

1. Keluar sesuatu daripada lubang dubur atau qubul sama ada tahi, kencing, darah, nanah, cacing, angin, air mazi atau air wadi dan sebagainya melainkan air mani sendiri kerana apabila keluar mani diwajibkan mandi.

2. Tidur yang tidak tetap punggungnya, kecuali tidur dalam keadaan rapat kedua-dua papan punggung ke tempat duduk.

3. Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, sakit, pengsan atau pitam kerana apabila hilang akal, seseorang itu tidak mengetahui keadaan dirinya.

4. Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang halal nikah atau ajnabiyyah (bukan mahram) walaupun telah mati.

5. Menyentuh kemaluan (qubul dan dubur manusia) dengan perut tapak tangan walaupun kemaluan sendiri.

6. Murtad iaitu keluar dari agama Islam

Jadi, dengan pengetahuan yang serba sedikit ini dapatlah menjadi panduan untuk kita gunakan sepanjang kehidupan seharian kita, kerana dengan berwudhu' :

1-Melatih kita tertib dan berdisiplin
2-Menenangkan jiwa, rohani dan emosi
3-Merasa suci dari kekotoran -hadas kecil mahupun besar
4-Membuang dosa-dosa kecil dan mendapat pahala

Sabda Rasullullah SAW: "Sesiapa yang mengambil wudhuk dengan baik,dosa-dosanya keluar dari badannya sehingga keluar dari bawah jari-jarinya." (Hadis Riwayat Muslim(361))

dan banyak lagi fadhilat wudhu' yang kita boleh dapat, amalkan mengambil wudhu' bukan sahaja untuk menunaikan solat, malah dalam apa jua perkara yang kita lakukan, seperti sebelum membaca Al-Quran, sebelum tidur, selepas mandi, sebelum pergi ke kerja/sekolah, selepas berhadas dan sebagainya.

Percayalah.. dengan izin Allah, kita akan merasa berwudhu' tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan mukmin.. :)

No comments:

Post a Comment