Monday, July 1, 2013

Nabi Muhammad S.A.W adalah Kekasih Allah S.W.T



Alhamdulillah, Syukur di atas nikmat pemberian Allah kepada sekalian Makhluk dan Hamba-Nya.
Nabi Muhammad S.A.W merupakan Nabi dan Rasul Akhir Zaman, dan tiada lagi selepasnya.
Mari kita sama-sama menghayati sifat-sifat peribadi Rasulullah S.A.W ini yang boleh dijadikan contoh untuk kita pada hari ini.


1. Siddiq (Benar) 
Benar adalah suatu sifat yang mulia yang menghiasi akhlak seseorang yang beriman kepada Allah dan kepada perkara-perkara yang ghaib.
Baginda senantiasa benar di dalam percakapannya dan perbuatannya. 
Ia merupakan sifat pertama yang wajib dimiliki para Nabi dan Rasul bagi menyampaikan wahyu dan agama Allah S.W.T.

Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (QS An-Najm: 4~5)



2. Amanah (Jujur dan Benar boleh dipercayai)
Penduduk Makkah memberi gelaran kepada Nabi Muhammad S.A.W dengan gelaran ‘Al-Amin’ yang bermaksud ‘terpercaya’,sebelum beliau diangkat jadi seorang Rasul.

Baginda tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai Rasul atau sebagai pemimpin bangsa Arab untuk kepentingan peribadinya atau kepentingan keluarganya, namun yang dilakukan Baginda adalah semata-mata untuk kepentingan Islam melalui ajaran Allah SWT.

Aku menyampaikan amanat-amanat Tuhanku kepadamu dan aku hanyalah pemberi nasihat yang terpercaya bagimu.” (QS Al-A'raaf: 68)



3. Tabligh (Menyampaikan)
Segala firman Allah S.W.T yang ditujukan oleh manusia, disampaikan oleh Baginda. Tidak ada yang disembunyikan walaupun ianya menyinggung Baginda sendiri.

Baginda akan menyampaikan setiap firman Allah S.W.T untuk disebarkan kepada umat manusia supaya menyembah Allah S.W.T, dan baginda sentiasa menyebarkan ilmu Allah S.W.T kepada umatnya agar lebih beriman kepada Allah S.W.T.

Supaya Dia mengetahui, bahawa sesungguhnya rasul-rasul itu telah menyampaikan risalah-risalah Tuhannya, sedang ilmu-Nya meliputi apa yang ada pada mereka, dan Dia menghitung segala sesuatu satu persatu.” (QS Al-Jin: 28)


4. Fathonah (Bijaksana)

Baginda menggunakan kebijaksanaan yang diberikan Allah S.W.T kepadanya dalam menyampaikan wahyu dan perdebatan dengan orang-orang kafir.

Baginda juga menggunakan kebijaksaan itu dalam keadaan tenang ketika berhadapan dengan kafir yang menentang dakwahnya.

Kebijaksanaan ini telah terbukti dengan penyatuan kaum Ansar dan Muhajirin, peristiwa perletakan 'hajar aswad' ke dinding ka'bah,dan macam-macam lagi.



5. Sabar
Rasulullah S.A.W mengajarkan sifat sabar dengan meninggalkan sifat mengeluh.
Sabar perlu ada dalam diri kita dan sifat ini secara tidak langsung dapat menambahkan iman kita.

Orang sentiasa bersabar dalam ibadahnya, akan dikurniakan pahala dan ganjaran dari Allah S.W.T, Orang yang sentiasa bersabar dengan kehidupan seharinya dan berikhtiar mengubah kehidupannya menjadi lebih baik, akan mendapat keberkatan dari Allah, orang yang selalu sabar dan ikhlas mengerjakan sesuatu kerana Allah S.W.T, merupakan orang yang beruntung di akhirat kelak, Insya Allah.

Rasulullah SAW bersabda : “kesabaran adalah salah satu dari perbendaharaan syurga”, dan ketika ditanya mengenai keimanan, Nabi bersabda :”keimanan itu adalah kesabaran dan kemurahan.” Ali bin Abi thalib mengatakan : ingatlah, sungguh tidak ada iman bagi orang yang tidak memiliki sabar.

“Hai orang-orang yang beriman, Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.” (QS.Ali Imran [3] : 200).



6. Dermawan dan Pemurah
Dermawan adalah sifat murah hati dan banyak memberi
Baginda hidup serba sederhana dan sentiasa menderma sehingga tiada satu dinar pun di dalam poketnya. Baginda sedekahkan kepada yang lebih memrlukan.

Selagi rezeki itu ada, selagi itulah kita perlu sedekahkannya kepada yang memerlukan. Baginda sangat murah hati keperibadiannya sehingga Baginda disayangi oleh golongan fakir miskin, anak yatim mahupun golongan bangsawan. Bagi Baginda, semua yang dimiliki umat manusia ini adalah milik Allah S.W.T dan perlu dirasa dan dikongsi bersama sesama makhluk. Apa yang kita miliki di dunia ini hanyalah sementara sahaja, yang penting amal ibadah kita yang akan kita bawa.



7. Berhemah Tinggi
Rasulullah S.A.W merupakan 'pendidik teragung' dalam menyampaikan dakwahnya. Baginda membuat teguran tanpa memalukan si pelaku kesalahan. Baginda membuat teguran dengan cara berhemah dan menyampaikan terus kepada umatnya secara umum tanpa menyebut nama si pelaku kesalahan tersebut.

Baginda juga menyampaikan dakwahnya dengan cara memuji-muji terlebih dahulu bagi memberi semangat dan dorongan kepada umat supaya lebih membuat amal kebajikan dan kebaikan.

 

8. Penyayang

Baginda merupakan seorang yang sangat penyayang.

“Barang siapa tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.” 

Rasulullah tidak pernah membalas sesuatu kejahatan dengan kejahatan. Malah, Baginda membalas kejahatan itu dengan kebaikan. Baginda tidak berdendam dan tidak marah kepada orang yang telah menyakitinya.

Baginda juga sangat menyayangi kucing. Baginda menjaga kucing dan menjadikan kucing sebagai haiwan yang suci sehingga ke hari ini. Baginda juga menyayangi haiwan-haiwan lain dan melarang manusia menyakiti haiwan, kerana haiwan juga mempunyai perasaan seperti manusia.

Baginda suka membantu isteri-isterinya di dapur, dan baginda akan menjahit sendiri pakaian-pakaiannya yang telah koyak.



Itu adalah di antara serba sedikit sifat yang dimiliki Rasulullah S.A.W dan masih banyak lagi yang kita boleh jadikan aplikasi dalam kehidupan kita. Sesungguhnya, Allah S.W.T telah memilih Nabi Muhammad S.A.W, sebagai utusan-Nya kerana sifat peribadi Baginda inilah yang boleh menjadi contoh kepada umat manusia untuk yakin dan beriman kepada-Nya. Semoga sifat-sifat mahmudah ini diterapkan dalam diri kita untuk mewujudkan dan menambahkan iman kita semua. Insya Allah.

No comments:

Post a Comment